Posted by : أمير الشفيق Thursday, March 19, 2015


PROGRAM BINA INSAN GURU FASA 1 SIRI 6 / 2012 DI KEM SRI BANAI IPG KAMPUS DARULAMAN DAN D’PUNCAK BRIS LAKE RESORT, SIK (29 APRIL 2012 – 2 MEI 2012)

Hari Kedua (30 April 2012)

Keesokan harinya, yakni 30 April 2012, bermulalah perjalanan kami ke D’Puncak Bris Lake Resort, Sik, Kedah. Setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah, kami dihidangkan sarapan rohani pagi oleh saudara Azhar bin Rasli mengenai Tafsir Surah An-Nur. 

Pada jam 7.30 pagi, saya dan rakan-rakan mengangkat barang-barang yang berada di khemah dan berkumpul di hadapan Bangunan Gerko untuk taklimat sebelum berangkat. Sebelum kami bertolak, kami berkumpul untuk slot menaikkan bendera dan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu IPDA. Bagi menghilangkan rasa mengantuk di awal pagi, kami diarah oleh Kem Komanden untuk membuat regangan badan dan senaman. 


Bas yang sepatutnya bergerak pada jam 8.00 pagi menghadapi sedikit kelewatan dari jadual berangkat. Hampir satu jam kami menanti ketibaan bas. Sebaik sahaja bas tiba, kami bertolak ke D’Puncak Bris Lake Resort, Sik dengan menaiki dua buah bas IPDA dan sebuah lori yang membawa barang-barang keperluan kami semasa berada di sana. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang dua jam. Setelah dua jam kami sampai ke destinasi yang dituju. 


Sebaik sahaja tiba di D’Puncak Beris Lake Resort, saya terpegun dan kagum dengan keindahan alam sekitar di sana. Tasiknya sangat luas dan dikelilingi oleh bukit-bukau dan hutan yang menghijau. Tuan Haji Rashid, pemilik D’Puncak Beris Lake Resort menyambut kami dengan baik dan memberikan sedikit taklimat ringkas kepada kami mengenai peraturan dan sejarah tempat itu. Menurut Tuan Rashid, tasik Beris dahulunya rendah. Apabila dibina empangan sepuluh tahun yang lalu, air tasik itu mula bertakung dan menyebabkan seramai 400 orang penduduk kampung dipindahkan ke bandar dan sebuah sekolah tiga tingkat tenggelam apabila empangan itu siap dibina. 


Pada masa yang sama, beliau mengingatkan kami supaya menjaga kebersihan tasik itu. Jangan sesekali membuang sampah-sarap dan sisa makanan ke dalam tasik kerana khuatir akan mengundang kehadiran binatang vektor yang paling ditakuti, iaitu tikus. Ini boleh membawa kepada pencemaran air dan jangkitan kuman terhadap sumber utama minuman. Tuan Rashid juga menceritakan kepada kami kemudahan yang disediakan di sini oleh pihak pengurusan D’Puncak Bris Lake Resort.

Selesai sahaja sesi taklimat, kami terus memunggah dan menurunkan kesemua barang dari lori dan meletakkannya di dewan kecil tempat menyimpan barang. Kami membentuk satu rantaian panjang bermula dari hujung lori sehingga ke dewan kecil. Selesai urusan menguruskan barang ke dalam dewan, kami berkumpul dalam kumpulan sebelum memulakan aktiviti jungle trekking. 


Boleh saya simpulkan bahawa trek yang kami lalui ini sebagai trek yang agak mencabar. Kekuatan kaki dan tangan amat diperlukan semasa aktiviti trekking ini kerana treknya yang agak tinggi dan curam untuk kami daki dan kami turuni. Perjalanan kami tidaklah begitu jauh iaitu sekitar dua kilometer sahaja tetapi faktor kecuraman dan bukit yang tinggi menjadi ianya mencabar dan memerlukan stamina yang kuat.

Kami dibekalkan dengan beberapa alatan memasak untuk kegunaan memasak apabila tiba di kaki bukit, setiap kumpulan dibekalkan barang peralatan memasak seperti dapur gas mudah bawa, pisau, kuali, periuk dan bekalan makanan seperti beras, minyak, garam, sayur, telur, bawang dan sardin. Kami juga dibekalkan dengan satu tong air mentah untuk kegunaan semasa memasak dan minum nanti.


Selesai sahaja makan, kami diarahkan untuk berkemas. Tepat pukul 4.00 petang, kami bergerak kembali ke tapak perkhemahan. Sebaik sahaja tiba di tapak perkhemahan, kami diarahkan untuk mendirikan khemah masing-masing mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Kemudian kami menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak takhir dan persiapan diri.

Seterusnya, kami menunaikan solat Maghrib dan Isya secara jamak dan qasar, dan diisi dengan pengisian slot tazkirah mengenai adab bersahabat. Kemudian diteruskan dengan slot refleksi mengenai aktiviti jungle trekking. Setiap kumpulan diwakili oleh seorang peserta untuk membentangkan apa yang diperoleh melalui aktiviti ini. Secara keseluruhannya, masing-masing peserta menyatakan rasa puas hati apa yang telah mereka lalui sepanjang aktiviti ‘jungle trekking’. 

Kemudian, kami menikmati makan malam sebelum menyambung aktiviti membuat rakit untuk aktiviti air pada keesokan harinya. Rakit perlu disiapkan pada malam itu juga kerana pada keesokan harinya kami akan terus berakit. Walaupun ketika itu kami berada dalam keletihan trekking pada pagi tadi yang belum reda. Setiap kumpulan dibekalkan enam biji pelampung besar, enam keping getah (pelampung kecil), tali-temali dan sepuluh batang paip PVC. 


Perkara yang paling penting dalam membina rakit adalah keseimbangan apabila semua ahli naik ke atas rakit itu. Semasa membuat rakit, tiga ikatan yang telah kami pelajari diaplikasikan, iaitu ikatan manok, lilitan balak dan ikatan pemancing. Setelah hampir dua jam melakukan, akhirnya rakit kami siap dibina dengan sempurna hasil semangat kerjasama. Persediaan rakit kumpulan berakhir jam 2.00 pagi.



Link berkaitan : 
Hari Pertama (29 April 2012)
Hari Kedua (30 April 2012)
Hari Ketiga (1 Mei 2012)
Hari Keempat (2 Mei 2012)

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -