- Back to Home »
- PIM 3106 »
- Abdul Muttalib : Ketua Kaum Quraisy
Posted by : أمير الشفيق
Tuesday, April 9, 2013
Abdul Muttalib
ialah cicit kepada Qusai bin Kilab, tokoh Quraisy pertama mengawal dan
menguasai Makkah, dan nasab keturunan Abdul Muttalib adalah seperti berikut
Abdul Muttalib bin Hashim bin Abi Manaf bin Qusai bin Kilab. Nama sebenar Abdul
Muttalib ialah Shaybah (uban), kerana rambut putih yang terdapat pada
kepalanya. Beliau merupakan pemimpin dan ketua kaum Quraisy yang dihormati dan
disegani oleh masyarakat Arab, kerana iltizamnya dalam menjalankan tugas dengan
adil, di samping keperibadiaanya yang terpuji.
Abdul Muttalib
tidak terlibat dengan amalan menyembah berhala, sekalipun amalan itu sudah
meluas dilakukan oleh masyarakat Arab di Makkah, yang terdiri dari berbagai
suku kaum dan kabilah termasuk kaum Quraisy sendiri. Abdul Muttalib mempunyai
anak seramai 16 orang iaitu anak lelaki seramai 10 orang sementara anak
perempuannya ialah 6 orang. Anak lelaki Abdul Muttalib terdiri dari Hamzah,
Al-Abbas, Abu Talib, Al-Zubair, Al-Maqwa, Dhirar, Hajl, Abu Lahab, al-Harith
dan Abdullah iaitu ayahanda Rasulullah SAW. Anak perempuannya ialah Atikah,
Umaimah, al-Baidha’ Birrah, Sofiah dan Arwa.
Antara peristiwa
yang terpenting yang berlaku kepada Abdul Muttalib ialah dua peristiwa iaitu
menggali telaga Zamzam dan peristiwa serangan tentera bergajah. Ringkasan peristiwa
pertama, sewaktu kaum Jurhum meninggalkan Makkah akibat tertewas dalam satu
rebutan kuasa, mereka menimbus Telaga Zamzam supaya kaum Khuzaah yang mengambil
alih kuasa tidak mengetahui wujudnya sumber air di situ. Sesudah lama
tertimbus, Abdul Mutallib mengetahui letaknya telaga Zamzam dan berjaya
menggalinya semula natijah dari sebuah mimpi yang dialaminya.
Semasa menggali
semula Telaga Zamzam itu, Abdul Muttalib membuat nazar iaitu sekiranya beliau
dikurniakan 10 orang anak lelaki yang taat setia membantunya kelak, salah
seorang daripada anaknya itu akan dikorbankan sebagai tanda penghargaan dan
kesyukuran. Dengan takdir Allah, Abdul Muttalib dikurniakan 10 orang anak
lelaki kemudiannya maka beliau terwajib menyempurnakan nazar itu. Beliau
memanggil kesepuluh anak lelakinya, dan memaklumkan mengenai tindakan yang
harus dilakukan iaitu memilih salah seorang dari mereka untuk dikorbankan,
sebagai memenuhi tanggungjawab menyempurnakan nazarnya.
Memahami beban
yang ditanggung oleh ayah mereka maka anak-anak itu akur dan bersedia supaya
salah seorang dari mereka dikorbankan. Abdul Muttalib menemui seorang pengawal
Kaabah, yang di dalamnya terdapat berhala Hubal, dan dinasihatkan supaya undian
secara kidah dilakukan. Sepuluh anak panah disediakan dengan setiap satunya
tertulis nama anak lelakinya itu untuk diundi.
Lalu ditulislah
nama-nama mereka pada anak panah dan diberikan kepada penjaga berhala Hubal.
Nama yang terkeluar dari undian itu merupakan penentuan anak yang harus
dikorbankan. Apabila undi dijalankan, nama Abdullah yang terkeluar, bererti
Abdullah adalah anak yang harus dikorbankan. Abdul Muttalib terguris sedih
kerana Abdullah merupakan anak yang paling dikasihi dan disayanginya. Abdullah
seorang anak yang terbaik dengan sifat sopannya. Namun Abdul Muttalib tiada
pilihan lain kecuali membawa Abdullah ke satu tempat di mana tradisi
pengorbanan disempurnakan. Tempat itu terletak berhampiran dengan Telaga Zamzam
antara berhala Isaf dan Naila.
Semasa nazar
pengorbanan hendak disempurnakan maka sekumpulan orang dari kaum Quraisy
terutamanya bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani
Makhzum dan saudaranya Abu Talib membantah dengan berkata, “Demi Tuhan:
janganlah anda meneruskan pengorbanan sebelum mendapat pandangan dari pihak lain
mengenainya. Kalau beginilah tindakan tuan maka orang lain pun akan
mengorbankan anak-anak mereka, apa akan jadi kepada masyarakat kita kelak?”
Orang-orang
Quraisy itu berserta anak-anak beliau meminta supaya Abdul Mutallib menemui
seorang ahli tilik perempuan atau Kahinah bagi mendapatkan nasihat dan
syarat-syarat menebus. Abdul Mutallib akur lalu menemui ahli tilik perempuan
yang disebut sebagai Kahinah tadi, yang menentukan setiap satu undi yang jatuh
kepada Abdullah itu akan ditebus dengan sepuluh ekor unta. Pembiayaan unta akan
dikongsi sama oleh masyarakat kaum Quraish mengikut sejauh mana bilangan undi
itu berakhir. Apabila dijalankan pengundian, nama Abdullah yang muncul jadi
sepuluh ekor unta diperuntukkan begitulah seterusnya undian itu dijalankan sebanyak
sepuluh kali berturut-turut, nama Abdullah jua yang muncul.
Dengan sepuluh
ekor unta setiap satu undi maka bilangan unta yang harus dijadikan tebusan
meningkat hingga ke seratus ekor banyaknya. Bagi pengundian seterusnya iaitu
kali yang kesebelas maka anak panah sebelah pihak unta pula muncul, dan dengan
demikian berakhirlah kiranya tanggungan yang harus disempurnakan sebagai
tebusan oleh Abdul Mutallib bagi Abdullah.
Akan tetapi,
Abdul Mutallib tidak berpuas hati dan meminta supaya undian sekali lagi dibuat.
Manakala undian kali kedua belas dilakukan, masih anak panah unta juga yang
muncul, dan bagi ketiga belas pun demikian juga halnya. Setelah tiga kali
undian itu dijalankan, ternyata hanya anak panah unta yang muncul, barulah
Abdul Muttalib merasa lega dan puas hati. Unta-unta itu disembelih sebagai
ganti Abdullah. Abdul Muttalib telah meninggalkan unta yang disembelih tanpa
menghalang siapa yang mahu mengambilnya sama ada manusia atau binatang buas.
Bayaran diat di kalangan orang Arab ialah sepuluh ekor unta. Selepas peristiwa
itu bayaran diat menjadi seratus ekor unta, dan ianya diperakui oleh Islam.
Sikap yang tegas
dalam memenuhi janji seumpama itu, memperkukuh ketokohannya sebagai seorang
pemimpin masyarakat yang berwibawa dan disegani. Peristiwa ini sesungguhnya
memperlihatkan kudrat dan iradah Allah swt menentukan kelangsungan kehadiran
Rasulullah SAW, dengan menyelamatkan Abdullah dari bangsa korban yang sia-sia.
Menurut Ibnu Hisham dalam bukunya Rahmal li al-alamin menyatakan bahawa baginda
Nabi s.a.w bersabda, “Aku adalah putera dua orang yang disembelih” yakni Ismail
dan bapanya Abdullah.
Abdul Muttalib
memilih Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah Kilab untuk menjadi isteri
anaknya Abdullah. Hasil perkongsian hidup Abdul Muttalib dan Aminah lahirlah
Junjungan besar Rasulullah s.a.w. Apabila berita kelahiran Muhammad sampai
kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Oleh kerana terlalu gembira,
Abdul Muttalib membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.
Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib
pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu
dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib itu menceritakan kepada mereka akan lahir
seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang,
keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul
Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama
Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.
Semasa Muhammad
bin Abdullah berumur enam tahun, ibunya Siti Aminah meninggal dunia. Muhammad
Rasulullah SAW dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman untuk diserahkan di
bawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib hidupnya miskin walaupun
seorang ketua penduduk Mekah, ini kerana hartanya dihabiskan memberi khidmat
dan melayan tetamu-tetamu Kaabah. Abdul Muttalib begitu terharu mengenangkan
nasib Muhammad Rasulullah SAW yang menjadi yatim piatu ekoran kehilangan kedua
ibu bapanya. Keharuan itu bagaimanapun, terubat bila mengenangkan Muhammad SAW
kini menggantikan Abdullah, anaknya yang amat disayangi itu, lalu tertumpahlah
kasih sayang itu kepada Muhammad Rasulullah SAW dengan begitu besar.
Kasih sayang
Abdul Muttalib jelas kelihatan dalam penghidupan seharian yang terbukti
antaranya membiarkan Muhammad Rasulullah SAW duduk atas hamparan yang khusus
baginya selaku pemimpin utama kaum Quraisy. Hamparan itu dijauhi oleh
anak-anaknya sendiri, kerana bagi mereka hamparan itu, tempat yang sangat mulia
dan harus dihormati.
Sewaktu
anak-anak Muttalib melarang Muhammad Rasulullah SAW menduduki hamparan itu yang
secara kebetulan beliau tiba lalu menegur mereka dan membawa Muhammad duduk
bersama dengannya sambil berkata, “Biarkanlah dia duduk di sini, kerana dia
akan menjadi pemimpin besar yang belum pernah dimiliki oleh bangsa Arab,” kata
Abdul Mutallib. Sambil duduk, Abdul Muttalib menghelus-helus belakang Baginda
dengan penuh kasih sayang dan melayani setiap karenahnya sebagai anak kecil. Muhammad
sentiasa menemani datuknya Abdul Muttalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua
tahun Muhammad menghadiri semua majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima
kunjungan demi kunjungan daripada semua pembesar Arab.
Baru satu tahun
Muhammad Rasulullah SAW memperoleh perhatian dan kasih sayang dari datuknya,
Abdul Muttalib tiba-tiba Allah saw menjemputnya ke alam Baqa, mengikut jejak
kedua ibu bapanya yang telahpun berpulang lebih awal. Abdul Muttalib meninggal
dunia dalam tahun Masihi 578, ketika berusia 85 tahun, dan baginda Rasulullah
SAW sendiri baru mencapai umur lapan tahun ketika itu. Menurut al-Sheikh
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (2011) di dalam bukunya ‘Al-Rahiq al-Makhtum’,
Abdul Muttalib meninggal ketika Nabi Muhammad berusia lapan tahun dua bulan
sepuluh hari.
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman
al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w.
Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id
Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji
Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff
& Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah
Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah
Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
Post a Comment