- Back to Home »
- PIM 3106 »
- Abdullah bin Abdul Muttalib
Posted by : أمير الشفيق
Tuesday, April 9, 2013
Abdullah, yang juga dikenali
sebagai Abu Dar, dilahirkan dalam tahun Masehi 545, merupakan anak bongsu
daripada sepuluh anak lelaki Abdul Muttalib. Abdullah seorang anak muda yang
tampan dan memiliki keperibadian mulia sesuai dengan keturunannya dari suku
kaum Quraisy, golongan yang dihormati oleh kabilah-kabilah Arab lainnya.
Abdullah seorang anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttalib kerana beliau
seorang yang bersopan-santun. Abdullah juga dikenali sebagai al-Dhabih (mangsa
penyembelihan). Ini kerana beliau adalah mangsa nazar ayahnya, Abdul Muttalib
yang bernazar akan mengorbankan anaknya jika mendapat sepuluh anak lelaki yang
taat setia membantunya kelak sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran.
Tatkala usianya cukup dewasa,
ayahnya, Abdul Muttalib memperjodohkan Abdullah dengan Aminah, anak perempuan
Wahab bin Abdu Manaf, tokoh Quraisy berjawatan tinggi dalam pentadbiran Makkah.
Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Aminah merupakan wanita
Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ketua Bani
Zuhrah.
Ketika Abdullah dibawa Abdul
Muttalib ke rumah Wahab bin Abdu Manaf untuk dinikahkan dengan Aminah, seorang
perempuan bernama Qatila, mengikuri Abdullah dengan pandangan yang tajam dari
hadapan pintu rumahnya di Makkah. Tatkala Abdullah melintasinya, Qatila
menegur, “Anda hendak ke mana?” “Ikut ayahku,” jawab Abdullah. “Begini,” kata
Qatila, “aku sedia menggantikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh ayah anda,
jika anda sanggup bersamaku,” katanya merujuk perbelanjaan Abdul Muttalib
mengeluarkan 100 unta sebagai tebusan nyawanya. “Tidak, aku akan tetap ikut
ayahku, dan kami tidak boleh berpisah,” tegas Abdullah.
Abdullah merasa tersinggung dan
malu kerana Qatila mengeluarkan kata-kata sedemikian di hadapan ayahnya
sendiri, seorang yang amat dihormati dan disegani. Walaubagaimanapun, Abdullah
meneruskan perjalanan, dengan sikap dan tindakan Qatila itu tetap mengganggu
fikiran dan menjadi tandatanya.
Abdullah dinikahkan pada hari yang
berkenaan, dan tradisi Arab memerlukan Abdullah menginap di rumah pengantin
perempuan selama tiga malam berturut-turut sebagai cara memesrakan hubungan
pasangan pengantin baru. Satu hari sesudah itu, Abdullah
meninggalkan rumah dan sewaktu diperjalanan bertemu semula dengan Qatila, tapi
beliau merasa hairan melihatkan Qatila yang tidak sedikitpun menunjukkan minat
kepadanya seperti tempoh hari.
“Mengapa anda tidak menegurku?” kata Abdullah.
“Anda siapa?” Tanya Qatila
seolah-olah tidak
mengenalinya.
“Abdullah bin Abdul Muttalib,”
tegas Abdullah.
“Pada mulanya, anda mempunyai
cahaya di antara
kedua mata anda,” kata Qatila, “tapi kini cahaya itu
sudah
hilang.”
“Apa yang terjadi?” tanya Qatila.
Hakikatnya, hasrat utama Qatila terhadap Abdullah terdorong dari keinginannya
menjadi seorang ibu yang bakal melahirkan seorang bayi yang akan menjadi nabi
bagi umat manusia. Maklumat berkaitan itu diketahui melalui khabar yang
disampaikan sendiri oleh abangnya, Waraqah bin Naufal, Rahib yang terkenal dan
dihormati oleh penduduk Arab.
“Demi Allah, aku tidak silap,
cahaya yang bersinar itu, yang ingin aku miliki, kini sudah menyusup masuk ke
dalam tubuh perempuan lain,” kata Qatila, “perempuan itu pastinya melahirkan
seorang manusia teragung. Dengan kehilangan cahaya di dahi anda, membuat hatiku
tidak lagi tertarik.”
Ramalan Qatila itu menjadi
kenyataan apabila Abdullah mendapati isterinya hamil, dan beliau menyedari
hakikat kebenaran Qatila, bahawa anak yang akan dilahirkan itu akan menepati
ramalan Qatila tadi.
Lalu tinggallah Abdullah dengan
Aminah di Mekah. Tidak lama selepas itu, Abdul Muttalib mengutuskan Abdullah
untuk pergi ke Madinah bagi mendapatkan bekalan-bekalan untuk mereka. Di sana
dia meninggal dunia. Menurut Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri dalam bukunya
al-Rahiq al-Makhtum, Abdullah keluar untuk berdagang ke Syam, bersama rombongan
perdagangan Quraish dan beliau singgah di Madinah lalu jatuh sakit dan
meninggal di sana. Jenazahnya dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Jadi.
Sayangnya, Abdullah tidak
berpeluang menyambut kelahiran anaknya, kerana beliau wafat semasa Muhammad
Rasulullah SAW masih dalam kandungan bondanya selama dua bulan. Beliau
meninggal dunia ketika berumur 25 tahun, dengan meninggalkan seorang hamba
wanita Habsyah yang bernama Barakah dan digelar Ummu Aiman, lima ekor unta dan
sebilangan kambing ternakan untuk diwarisi oleh Aminah. Apabila berita
kematiannya sampai ke Mekah, Aminah meratapinya dengan ungkapan-ungkapan syair
yang menarik, katanya:
Hilang sudah putera Hashim di Batha
Bertandang lahad yang jauh dalam
ratap tangis
Panggilan maut memanggil lantas
disahutnya
Yang tidak meninggalkan seumpama
putera Hashim di
kalangan manusia
Petang hari mereka mengusung
kerandanya
Oleh teman-teman yang berasak-asak
Jika benar kematian dan dukacita
itu perampas dirinya
Namun dia tetap terpahat sebagai
dermawan dan
pengasih
Rujukan:
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
Post a Comment