Posted by : أمير الشفيق Thursday, March 19, 2015


PROGRAM BINA INSAN GURU FASA 1 SIRI 6 / 2012 DI KEM SRI BANAI IPG KAMPUS DARULAMAN DAN D’PUNCAK BRIS LAKE RESORT, SIK (29 APRIL 2012 – 2 MEI 2012)

Program Bina Insan Guru bagi siri 6/2012 telah berlangsung selama 4 hari 3 malam pada 29 April 2012 hingga 2 Mei 2012 bertempat di Kem Seri Banai, IPG Kampus Darul Aman dan D’Puncak Bris Lake Resort, Sik, Kedah. Seramai 65 orang guru pelatih terlibat dalam Program Bina Insan Guru kali ini. Para guru pelatih yang terlibat terdiri daripada tiga kumpulan pengajian PISMP Ambilan Januari 2012 (Semester 1) iaitu PISMP Pendidikan Islam 2, Matematik 2 dan Pendidikan Khas 3.

Program Bina Insan Guru Fasa 1 Siri 6 ini merupakan kumpulan siri terakhir bagi Fasa 1/2012. Pada mulanya kami diminta untuk melaksanakan program ini pada 22 hingga 25 April 2012, akan tetapi atas faktor amaran gempa bumi berskala richter yang tinggi di kawasan Pantai Merdeka, Kedah, program kami ditunda seminggu kemudian iaitu pada 29 April hingga 2 Mei 2012. Sebagai langkah keselamatan, pihak Ahli Jawatankuasa Induk telah mengubah tempat ke D’Puncak Bris Lake Resort, Sik. 


Hari Pertama (29 April 2012)
Tanggal 29 April 2012 bersamaan dengan hari Ahad, bermulalah Program Bina Insan Guru Fasa 1 Siri 6 / 2012. Kesemua peserta sudah mulai berkumpul di hadapan Bangunan Temenggong iaitu Unit Gerko sewal jam 7.30 pagi untuk urusan pendaftaran.


Setelah selesai sesi pendaftaran peserta pada pagi tersebut program dimulakan dengan taklimat awal kepada semua peserta oleh Kem Komanden iaitu En. Mohd Nadzri Bin Mohd Khir @ Mt. Khir pada jam 8.00 pagi selepas nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah dan lagu IPG Kampus Darulaman. Beliau menyampaikan pesanan supaya para peserta sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan serta arahan-arahan yang diberikan oleh kem komandan dan para jurulatih program Bina Insan Guru.

 

Seterusnya, kami diberi masa untuk aktiviti mendirikan khemah di tapak perkhemahan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi. Kami menggunakan khemah ‘A Shape’. Sebanyak sebelas khemah dipasang, enam daripadanya adalah khemah peserta lelaki. Kami semua diberi taklimat dan penerangan tentang cara-cara mendirikan khemah dengan betul oleh Tuan Haji Abdul Rahim bin Abdullah dan En. Yusri bin Yusoff. Mereka mengingatkan kami agar memastikan terlebih dahulu tapak khemah digunakan berada di dalam keadaan selamat dari ranting atau dahan pokok yang mati di atas pokok. Kami diajar memasang kain kanvas khemah dengan pemancang secara betul. Kami juga diajar cara ikatan tali khemah.



Selesai mendirikan khemah, aktiviti diteruskan dengan taklimat mengenai ikatan tali oleh Tuan Haji Abdul Rahim bin Abdullah. Hasil daripada aktiviti ini saya dapat mempelajari beberapa jenis ikatan yang sangat berguna dalam kehidupan seharian khususnya apabila berada dalam hutan dan sebagainya. Antara jenis ikatan yang diajar ialah ikatan buku sila, ikatan manok, ikatan pemancing, lilitan balak, tindih kasih dan buku sila. Menurut Tuan Haji Abdul Rahim, ikatan ini sangat penting kerana ianya akan diaplikasikan semasa aktiviti jungle trekking dan rafting yang mana kedua-dua aktiviti ini turut dirangka dalam program BIG selama 4 hari 3 malam ini. Kami juga dibekalkan dengan tali untuk mencuba setiap ikatan yang diajar. Oleh itu, saya berusaha memahirkan diri dengan semua jenis ikatan yang telah diajar.



Seterusnya, program BIG ini diteruskan lagi dengan aktiviti ‘Ice Breaking’. Aktiviti ini dikendalikan oleh Fasilitator LDK, En Sheridean bin Zakaria selaku pensyarah Jabatan Bimbingan Kaunseling di IPG Kampus Darul Aman. Kami dikehendaki berkenalan antara satu sama lain mengikut bulan kelahiran dan mengetahui kehebatan dan keistimewaan masing-masing. Saya dapat berkenalan dengan peserta lain yang turut meraikan ulangtahun kelahiran bulan yang sama. Saya berasa bertuah kerana peserta yang dilahirkan pada bulan Julai terdiri daripada tujuh orang dan kesemuanya memakai kacamata. Pada pandangan saya, aktiviti ini sangat baik dan memberikan impak yang mendalam kepada setiap peserta program. Para peserta juga dapat memperbaiki kemahiran komunikasi dengan orang lain.


Impak yang paling ketara yang saya peroleh dari aktiviti ini ialah saya dapat berkenalan dan mengenali dengan lebih rapat rakan-rakan peserta program dan jalinan ukhuwah dapat terjalin selari dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara”. Seterusnya kami dikehendaki melakukan aktiviti lakonan secara berpasangan dimana salah seorang dikehendaki melakukan gaya menggunakan tangan melalui ucapan rakannya mengikut situasi yang diberi.


Aktiviti komunikasi berkesan diteruskan lagi dengan aktiviti meneka gaya melalui isyarat. Seorang wakil dari setiap ahli kumpulan dikehendaki berada di hadapan dan menyampaikan perkataan secara lakonan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Manakala ahli kumpulan yang lain perlu meneka dan menulis segala setiap gerak geri yang dibuat oleh wakil kumpulan tersebut. Pada jam 4.00 petang, kami dikehendaki mencipta bendera kumpulan masing-masing dan membuat ikrar kumpulan melebihi 100 patah perkataan sambil menikmati juadah minum petang.


Aktiviti yang seterusnya pada jam 5.00 petang adalah membuat ikatan tindih kasih dengan menggunakan seutas tali yang sangat besar dan panjang. Syaratnya setiap peserta tidak boleh melepaskan pegangan semasa menyiapkan tugasan itu. Semangat kerjasama dan ketangkasan dapat dilihat melalui aktiviti ini.


Pada sesi malam pula, selesai sahaja solat Maghrib, kami dihidangkan santapan rohani yang disampaikan oleh seorang peserta lelaki iaitu saudara Abdul  Muiz bin Norizan mengenai kepentingan solat.

Selepas selesai solat fardhu Isyak, program diteruskan dengan LDK 2. Pada slot ini, Encik Sheridean meneruskan slotnya tentang ciri-ciri pemimpin yang baik. Kami diminta untuk memilih satu ciri-ciri guru yang baik dan perlu memberikan penjelasan terbaik tentang pilihan kumpulan kami dan membentangkannya kepada semua. Seterusnya, kami telah diminta untuk menyenaraikan dan mengeluarkan kesemua ciri-ciri guru yang baik, nama pensyarah, nama ibu bapa dan nama ahli kumpulan. Kami dikehendaki menulisnya di atas kertas. Kemudian kertas-kertas ini dijadikan sebagai tiang untuk menampung dua buah bata.



Selepas itu, kami melakukan aktiviti origami menggunakan potongan kertas dan aktiviti mendirikan 12 batang paku atas satu paku. Aktiviti ini memerlukan daya pemikiran yang kreatif dan kritis yang tinggi. Aktiviti pada malam ini diteruskan lagi dengan taklimat ringkas cara ikatan rakit oleh Tuan Haji Abd Rahim melalui demonstrasi. 





Pada jam 12.00 malam, saya dan rakan-rakan bekerjasama menyimpan semua barang-barang dan peralatan yang akan dibawa ke tapak perkhemahan di D’Puncak Bris Lake Resort, Sik ke dalam lori. Walaupun keadaan hujan, kami tetap berusaha menyelesaikan tugas-tugas secepat yang mungkin. Kemudian, kami berehat dan bersedia untuk hari seterusnya.


Link berkaitan : 
Hari Pertama (29 April 2012)
Hari Kedua (30 April 2012)
Hari Ketiga (1 Mei 2012)
Hari Keempat (2 Mei 2012)

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -