- Back to Home »
- Ceramah Agama »
- Aurat Lelaki
Apakah batasan aurat lelaki?
Batasan yang disepakati oleh ulamak ialah dua kemaluan iaitu depan (bahagian
zakar) dan belakang (bahagian punggung). Wajib lelaki menutup dua bahagian
tersebut dari diperlihatkan kepada orang lain. Adapun yang selain dari itu,
maka para ulamak berbeza pandangan;
Pandangan pertama; aurat lelaki ialah kawasan di antara pusat dan lutut. Jadi berdasarkan
pandangan ini, paha adalah aurat dan wajib ditutup. Dalil mereka hadis dari
Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang
pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;
أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ
“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. (Riwayat Imam Abu
Daud, Tirmizi dan Malik)
Pandangan pertama ini merupakan pandangan jumhur ulamak.
Pandangan kedua; aurat lelaki hanyalah
dua kemaluannya sahaja iaitu depan dan belakang. Paha tidaklah aurat. Mereka
berdalilkan beberapa hadis antaranya hadis Anas r.a. yang menceritakan;
أن النبي صلى اللَّه عليه وسلم يوم خيبر حسر الإزار عن
فخذه حتى إني لأنظر إلى بياض فخذه
“Pada hari peperangan Khaibar, terselak kain dari paha Nabi s.a.w. hingga aku
dapat melihat putihnya paha baginda” (HR Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari).
Pandangan kedua ini adalah pandangan mazhab az-Zahiri dan sebahagian ulamak
mazhab Maliki.
Menurut Imam al-Bukhari; hadis Anas di atas lebih kuat sanadnya, namun hadis
Jarhad adalah lebih berhati-hati. Jadi sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat),
lebih baik kita berpegang dengan pandangan jumhur kerana kita dapat lari dari
khilaf dan keraguan. Sabda Nabi s.a.w.; “Tinggallah yang meragukan kamu untuk
berpindah kepada apa yang tidak meragukan kamu” (HR Imam at-Tirmizi dan
an-Nasai. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).[1]
Adakah pusat dan lutut termasuk aurat dan wajib
ditutup?
Jumhur ulamak (merangkumi Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berpandangan; pusat
dan lutut tidaklah aurat, namun wajib ditutup sebahagian darinya untuk
menyempurnakan penutupan kawasan aurat di atas (yakni kawasan antara pusat dan
lutut) kerana sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia
turut menjadi wajib. Maksud wajib ditutup sebahagiannya ialah; menutup
sebahagian pusat sebelah bawah dan sebahagian lutut sebelah atas. [2]
Menurut mazhab Imam Abu Hanifah;[3] Pusat tidaklah aurat[4], akan tetapi lutut adalah aurat dan wajib
ditutup.[5]
Adakah harus seorang lelaki melihat aurat lelaki
lain? Bagaimana pula dengan menyentuhnya?
Tidak harus. Tidak harus seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki lain dan
menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat kecuali ketika darurat. Adapun selain
aurat, harus melihatnya dan harus menyentuhnya (dengan syarat tanpa syahwat).
Setiap yang harus dilihat, maka harus disentuh kerana ia bukan aurat.[6]
Sejauhmana seorang wanita harus melihat kepada
lelaki dan menyentuh atau bersalaman dengannya?
1) Jika suaminya; harus ia melihat ke seluruh badan suaminya kerana tiada aurat
antara suami isteri. Namun dimakruhkan melihat kemaluan. Begitu juga, harus ia
bersalaman dan menyentuh suaminya tanpa sebarang had atau batasan.
2) Jika mahramnya; harus ia melihat kepadanya di kawasan bukan aurat (yakni
kawasan selain antara pusat dan lutut). Dan harus ia bersalaman dan menyentuh
mahramnya (di luar dari kawasan aurat) dengan syarat tanpa syahwat.
3) Jika bukan mahramnya (yakni lelaki ajnabi); harus ia melihat kepadanya di
kawasan bukan aurat dengan syarat tidak menimbulkan fitnah dan tidak melihat
dengan syahwat.[7] Namun diharamkan bersalaman dengannya
dan menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat.
Kesimpulan; terhadap suami; harus
ia melihat dan menyentuhnya tanpa sebarang batasan. Terhadap mahramnya; harus
ia melihatnya dan menyentuhnya tetapi di luar dari kawasan aurat (iaitu kawasan
antara pusat dan lutut). Adapun terhadap lelaki ajnabi; harus ia melihatnya
tetapi tidak harus menyentuhnya. Terhadap suami; harus ia melihat dan menyentuh
dengan syahwat. Adapun lelaki lain (sama ada mahram atau ajnabi), tidak harus
ia melihat dan menyentuhnya dengan syahwat.[8]
Apa dalil keharusan wanita melihat kepada lelaki
(jika tanpa syahwat)?
1. Terdapat hadis di dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan; “Pada
suatu hari raya beberapa lelaki Habsyah bermain di dalam masjid dengan
lembing-lembing mereka. Nabi menyaksikan mereka. ‘Aisyah juga turut menyaksikan
mereka dengan berdiri di belakang Nabi” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Imam
Ahmad). Sekiranya wanita tidak harus melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu
Nabi akan menghalang ‘Aisyah memandang lelaki-lelaki Habsyah yang sedang
bermain itu.
2. Jabir r.a. menceritakan; “Aku menghadiri majlis solat hari raya bersama Nabi
s.a.w.. Baginda memulakan dengan menunaikan solat -sebelum menyampaikan
khutbah- tanpa didahuli azan atau iqamah. Kemudian (setelah solat), baginda
bangun dengan bersandar pada Bilal dan (menyampai khutbah) dengan menyuruh
bertakwa kepada Allah dan mentaatinya serta memberi peringatan kepada mereka.
Kemudian baginda pergi kepada kaum wanita –dengan diiringi oleh Bilal- dan
menyampaikan pula peringatan kepada kaum wanita…” (Riwayat Imam al-Bukhari,
Muslim, Ahmad dan an-Nasai). Kita perhatikan dalam hadis ini; Nabi s.a.w.
mengajak Bilal bersamanya semasa menyampaikan peringatan di hadapan kaum
wanita. Sudah tentu Bilal akan dilihat oleh kaum wanita. Jika wanita tidak
harus secara mutlaknya melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu Nabi tidak
akan membawa Bilal bersamanya.[9]
Apa dalil diharamkan wanita menyentuh lelaki ajnabi
(sekalipun tanpa syahwat)?[10]
1. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;
وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي
الْمُبَايَعَةِ وَمَا بَايَعَهُنَّ إِلَّا بِقَوْلِهِ
“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita
semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya
sahaja” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Sekiranya seorang wanita harus menyentuh seorang lelaki ajnabi sudah tentu Nabi
akan membai’ah para wanita dengan berjabat tangan dengan mereka sebagaimana
yang baginda lakukan dengan kaum lelaki.
2. Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ
حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ
“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik
baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat
Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini
adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah
Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).
Benarkah ada ulamak yang mengharuskan wanita
bersalaman dengan lelaki ajnabi jika lelaki itu telah tua?
Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Mereka berpandangan; harus seorang
wanita berjabat tangan atau bersalaman dengan lelaki yang telah tua dengan
syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya
atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus
bersalaman.
Namun menurut jumhur ulamak; haram wanita bersalaman dengan lelaki ajnabi sama
ada ia muda atau tua, dengan syahwat atau tanpa syahwat.[11]
Apa yang dimaksudkan dengan “syahwat” dalam
ungkapan-ungkapan kita sebelum ini?
Iaitu keinginan hati kepada jimak atau bibit-bibit pendahulu kepadanya. Melihat
dengan syahwat ialah melihat dengan merasai kelazatan/keseronokan atau hati dan
fikiran terkesan dengan kecantikan perkara yang dilihat.[12]
Apa yang dimaksudkan dengan “aman dari fitnah”
dalam ungkapan-ungkapan kita tadi?
Iaitu dorongan nafsu dan keinginannya kepada jimak (zina) atau bibit-bibit
pendahulu kepadanya.[13]
Apakah batasan aurat lelaki di dalam solat?
Batasan aurat lelaki di dalam solat sama seperti di luar solat iaitu antara
pusat dan lutut mengikut pandangan jumhur ulamak. Menutup aurat di dalam solat
adalah wajib dengan ijmak ulamak. Tidak harus seseorang mengerjakan solat dalam
keadaan telanjang sedangkan ia mempunyai pakaian untuk menutup aurat dan
solatnya adalah batal.
Apakah hukum lelaki mengerjakan solat tanpa
berbaju?
Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. menyebutkan;
لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْواحِدِ،
لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْء
“Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan satu pakaian sahaja di
mana tidak ada di atas bahunya satu pakaian pun” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim
dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut mazhab Hanbali dan Hanafi; tegahan hadis di atas menunjukkan kepada
pengharaman. Jadi menurut pandangan ini; wajib ketika mengerjakan solat kita
menutup atas badan kita dengan sebarang kain sekalipun nipis sekadar tidak
menampakkan warna kulit.
Namun mazhab Syafi’ie dan Malik berpandangan; larangan dalam hadis di atas
hanyalah larangan makruh sahaja, tidak haram. Jadi, mengikut pandangan ini;
kita disunatkan memakai baju atau menutup bahagian atas badan kita ketika solat
dan jika kita tidak melakukannya tidaklah sampai berdosa atau sampai
membatalkan solat asalkan kita telah menutup aurat yang wajib (iaitu dari pusat
ke lutut). Dalil pandangan kedua ini ialah; hadis dari Abu Hurairah r.a. yang
menceritakan; seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah harus sesiapa dari
kami menunaikan solat dengan hanya satu pakaian sahaja?’. Jawab Nabi s.a.w.;
أَوَ كُلُّكُمْ يَجِدُ ثَوْبَيْنِ
“Adakah ke semua kamu memiliki dua pakaian?”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memberi pengertian; tidak semua orang memiliki dua pakaian. Jadi jika
diwajibkannya sudah tentu akan menyukarkan orang yang tidak mampu untuk
menunaikan solat. Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan keharusan
mengerjakan solat dengan memakai satu pakaian sahaja. Namun para ulamak sepakat
bahawa; memakai dua pakaian adalah paling baik.[14]
Nota Hujung;
[1] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 28.
[2] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 22.
[3] Pandangan ini juga menjadi pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie.
Namun yang rajah dalam mazhab ialah pandangan pertama (Al-Albisah Wa az-Zinah,
hlm. 22).
[4] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 25.
[5] Para ulamak sepakat bahawa pusat tidak aurat (Al-Albisah Wa az-Zinah,
hlm. 26).
[6] Ibid, hlm. 28.
[7] Para ulamak telah sepakat bahawa haram seorang wanita melihat lelaki
ajnabi dengan syahwat. Adapun melihat tanpa syahwat, para ulamak sebenarnya
berbeza pandangan;
Pandangan pertama; harus wanita melihat lelaki di kawasan bukan auratnya selagi
tidak menimbulkan fitnah dan tidak melihat dengan syahwat. Pandangan ini
merupakan mazhab Abu Hanifah, mazhab Hanbali dan salah satu pandangan dari Imam
Syafi’ie (yang ditashihkan oleh Imam ar-Rafi’ie).
Pandangan kedua; wanita harus melihat lelaki ajnabi kepada wajah, leher, dua
tangan dan dua kakinya sahaja dengan syarat tidak dikhuatiri menimbulkan
syahwat/kelazatan. Tidak harus ia melihat kepada dada, belakang, rusuk dan
betisnya sekalipun tanpa syahwat. Ini adalah pandangan Imam Malik.
Pandangan ketiga; hukum wanita memandang lelaki sama dengan hukum lelaki
memandang wanita iaitu tidak harus secara mutlaknya sekalipun tanpa syahwat,
yakni wajib lelaki menjaga matanya dari melihat wanita dan wajib wanita menjaga
matanya dari melihat lelaki. Ini merupakan salah satu pandangan Imam Syafi’ie
(yang ditashihkan oleh Imam Nawawi) dan juga salah satu dari pandangan Imam
Ahmad.
(Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 28)
Jadi, pandangan yang kita kemukakan di atas adalah pandangan pertama yang merupakan
pandangan jumhur ulamak.
[8] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 135.
[9] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 135. al-Albisah
Wa az-Zinah, hlm. 30.
[10] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 107.
[11] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 108.
[12] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 78-79.
[13] Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, hlm. 78-79.
[14] Syarah Soheh Muslim, Juz. 4, Kitab as-Solah, bab as-Solah Fi Tsaubin
Wahidin…
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Post a Comment