- Back to Home »
- Kem PALAS »
- TEKS MC MAJLIS PENUTUPAN KEM PRA TAHFIZ 2015
Posted by : أمير الشفيق
Monday, December 14, 2015
Para Hadirin dikehendaki mematikan telephone atau berada dalam mood senyap bagi memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lancar dan tiada sebarang gangguan bunyi sepanjang majlis berlangsung. Kerjasama anda amatlah diharapkan dan dihargai pihak majlis.
Para hadirin dipersilakan untuk mengambil tempat duduk.
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbila’lamin Wassalatuwassala Mua’la Ashrafil Ambiya Iwal Mursalin Waa’la Alihi Wasahbihi Ajmai’n. Yang Berbahagia Tuan Azam bin Aziz, Pengurus Kem Palas merangkap Kem Komanden Kem Pra Tahfiz.
Yang Berusaha Ustaz Mohd Azhar b Rasli, Ketua Fasilitator Kem Pra Tahfiz. barisan fasilitator, barisan jurulatih Kem Palas. Seterusnya para Peserta Kem Pra Tahfiz yang dikasihi serta Hadirin dan Hadirat warga dewan sekalian.
Majlis dimulai dengan nyanyian lagu nasyid tema Kem Pra Tahfiz oleh para peserta. Para peserta dikehendaki berdiri dengan penuh semangat untuk menyanyikan lagu tema Kem Pra Tahfiz.
Assalamualaikum WBT, Salam 1 Malaysia, Salam Kedah Aman Makmur. Selamat Datang ke Majlis Penutupan Kem Pra Tahfiz.
Pihak majlis mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke bumi Jelapang Padi, Kedah Darul Aman. Sesungguhnya, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita sama-sama berpeluang berkumpul di Dewan Kem Palas ini bagi menjayakan Majlis Penutupan Kem Pra Tahfiz.
Warga dewan yang dirahmati,
Bagi memberkati majlis ini, pihak majlis menjemput saudara Muhammad Naqim Mukhlis bin Kamarun Zaman untuk memimpin bacaan doa, dipersilakan.
(Bacaan doa)
...............................................................................................................................
Terima kasih diucapkan.
Hadirin hadirat sekalian,
Antara objektif penganjuran kem ini ialah diharapkan para peserta dapat menghafal surah-surah pilihan dan menghafal juzuk amma. Para peserta diharapkan dapat mengetahui asas-asas fardhu ain dengan baik dan membentuk diri menepati ciri-ciri yang digariskan islam. Impaknya, lahirlah anak-anak yang soleh dan solehah dan dapat mengisi masa cuti dengan aktiviti yang menarik dan berfaedah.
Untuk makluman hadirin sekalian, peserta Kem Pra Tahfiz 2015 adalah seramai 33 orang. 23 orang peserta lelaki dan 10 orang peserta perempuan. Kem ini telah berlangsung selama 14 hari dengan jayanya bermula dari 27 November 2015 sehingga 10 Disember 2015.
Para peserta telah melakukan pelbagai aktiviti menarik antaranya ialah aktiviti masakan survival, aktiviti memancing ikan di seri perigi, lawatan ke muzium arkeologi dan lawatan ke tanjung dawai. Para peserta dapat melihat sendiri proses penghasilan keropok dan jualan ikan secara borong kepada peraih di jeti nelayan tanjung dawai.
Sekarang kita akan bersama-sama menyaksikan hafalan surah-surah dari peserta Kem Pra Tahfiz. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan adik Irdeena, Zulfa, Anas dan Ajwad untuk mempersembahkan hafazan mereka. dipersilakan.
.................................................................................................................................
Majlis akan diserikan lagi dengan acara penyembelihan burung puyuh oleh peserta-peserta Kem Pra Tahfiz.
Para peserta telah diberikan pendedahan asas teori oleh barisan fasilitator untuk pelaksanaan penyembelihan. Maka pada hari ini, saat-saat yang dinantikan, ayuh kita alihkan pandangan kita ke luar dewan bagi bersama-sama menyaksikan acara penyembelihan burung puyuh.
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sebanyak 12 ekor burung puyuh akan disembelih oleh adik-adik peserta kem pra tahfiz. Acara sembelihan ini dibimbing khas oleh barisan jurulatih kem palas. Kekuatan emosi dan mental amat penting kepada adik-adik peserta kerana ini adalah pengalaman pertama buat kebanyakkan peserta.
Majlis akan diserikan lagi dengan persembahan khas nasyid dari peserta-peserta kem pra tahfiz. Tanpa membuang masa, majlis mempersilakan kumpulan Nasyid untuk mempersembahkan persembahan mereka. Dipersilakan.
Sungguh ceria dan begitu semangat sekali alunan nasyid yang telah dipersembahkan oleh mereka. Bait-bait nasyid yang diperdendangkan memberi inspirasi dan semangat buat para peserta untuk lebih cemerlang.
Kini majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Ustaz Mohd Azhar bin Rasli selaku Ketua Fasilitator Kem Pra Tahfiz untuk menyampaikan sedikit ucapan. Dengan penuh takzim, majlis mempersilakan.
..............................................................................................................................
Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Mohd Azhar bin Rasli atas ucapan beliau sebentar tadi.
Warga dewan sekalian, kita akan meneruskan majlis pada pagi ini dengan penyampaikan sijil penyertaan beserta gambar kenangan kepada semua peserta Kem Pra Tahfiz. Dipersilakan Ustaz Azhar bin Rasli untuk mengiringi Tuan Azam bin Aziz bagi menyampaikan sijil kepada para peserta.
Dipersilakan saudara/saudari .................................................................................
Terima kasih diucapkan.
Dengan berakhirnya sesi penyampaian sijil penyertaan itu tadi, maka majlis penutupan Kem Pra Tahfiz 2015 telah bersedia untuk melabuhkan tirainya.
Sebelum majlis mengundur diri, marilah sama-sama kita mengalihkan perhatian ke slide untuk menyaksikan tayangan video sepanjang perjalanan Kem Pra Tahfiz ini berlangsung. Video ini telah dihasilkan oleh Tuan Shahidan selaku unit ICT Kem Palas. Ayuh sama-sama kita saksikan tayangan montaj yang telah disediakan.
Kami mewakili seluruh jawatankuasa pelaksana majlis menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf andai ada kekurangan semasa kami mengendalikan majlis ini. Segala yang baik datangnya daripada Pencipta dan yang lemah itu merupakan kelemahan kita sebagai hamba yang dicipta. Sekian, Wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wbt.
Semua hadirin dijemput bersama-sama menyanyikan nasyid Iktiraf.
Majlis mempersilakan hadirin sekalian untuk menikmati sedikit juadah hidangan yang telah disediakan.
Post a Comment