Posted by : أمير الشفيق Monday, August 3, 2015


" GURU 3600 " 
PENCETUS INSPIRASIKU, MENGUBAH JALAN HIDUPKU


        Detik 1 Mac 2012 menjadi satu kenangan terindah dalam hidup aku. Buat pertama kalinya aku terbang di udara ke bumi kenyalang. Demi misi mencari pengalaman di sekolah pedalaman. Sekolah Kebangsaan Kuala Tutoh, Baram, Sarawak menjadi saksi dan tempatnya hati ini terpaut untuk terus bergelar seorang guru. Akan aku lakarkan dalam mimpi aku sebuah kawasan yang cukup indah dan hebat pengalamannya sebelum berada di dunia yang nyata. Tidak pernah terdetik di lubuk hati ini untuk menjadi seorang pencorak anak bangsa, hanya kebetulan suratan takdir yang dirancang oleh si Pencipta terhadap hamba ciptaannya. 
        Seminggu pelaksanaan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) buat kali pertama ini terasa umpama seperti sebulan perjalanan panjangnya, pelbagai aktiviti dan pengalaman baru dipelajari oleh aku. Aku berpeluang sendiri melihat kehidupan bangsa Kiput, salah satu suku kaum minoriti di Sarawak. Sekolah hanya beratapkan nipah dan dibina atas kudrat kasih seorang ayah yang ingin anaknya mendapat pendidikan agar mampu mengubah kehidupan keluarga, sosioekonomi bangsa serta menjadi harapan dan tonggak kemajuan negara.  
        Sepanjang seminggu di sini, hati aku telah diracuni oleh seorang insan guru mulia, Syed Yusri bin Syed Isa. Seorang insan istimewa yang sering menjadi buah bicara perbualan dan topik utama guru novis di pedalaman oleh warga kampus Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman malahan murid-murid dan guru-guru di sekolah ini turut mengagumi beliau. Beliau disanjungi serta dikagumi bukan kerana paras rupanya yang memukau pandangan mata mahupun limpahan harta yang dimilikinya. Siapa yang mengenalinya, pasti terpaut atas kejernihan hati nuraninya yang begitu bersih bergelar seorang pendidik dan sikap kemesraannya dengan setiap orang.
        Beliau merupakan insan guru novis lepasan Ijazah Sarjana Muda Perguruan keluaran pertama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berjaya mengubah 3600 persepsi dan tanggapan siswa pendidik di kampus serta masyarakat pedalaman. Beliau membuktikan bahawa keluaran IPGM adalah guru yang berkualiti pengajarannya serta mesra dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira agama, adat, bangsa serta warna kulit. Beliau mengaplikasikan segala kemahiran yang dipelajari di IPG di pedalaman. Beliau membuktikan bahawa IPG merupakan institusi latihan perguruan yang terbaik untuk melatih guru-guru. Ketiadaan teknologi maklumat di pedalaman bukanlah halangan untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di sana. Ini menjadikan beliau lebih kreatif dan kritis dalam penyediaan bahan dan kaedah pengajaran.
        Beliau merupakan guru 3600 yang mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya yang terdiri daripada orang atasannya (pihak pentadbiran), rakan sejawat dan orang bawahan (murid-murid). Bagi mempengaruhi dan memenangi hati orang di sekeliling, sudah tentu orang itu perlu mempunyai sikap yang positif, tingkah laku yang baik, tutur kata yang sopan, berbudi bahasa, menghormati yang tua dan muda, mengamal sifat-sifat terpuji dan menjauhi sifat-sifat keji.
        Sepanjang pengamatan aku, guru 3600 ini sentiasa hadir di sekolah pada waktu pagi selewat-lewatnya 15 minit lebih awal sebelum perhimpunan pagi. Kerana itu beliau sentiasa menjadi orang pertama atau kedua sampai di sekolah setiap hari. “Tiba awal di sekolah memberi ketenangan kepada saya bagi memulakan tugas. Saya masuk ke kelas tepat pada waktunya dan tidak perlu tergesa-gesa. Saya ada masa menyediakan peralatan yang sesuai bagi pengajaran dan pembelajaran.” Satu ungkapan yang akan aku pahatkan dalam jiwa ketika menjadi guru nanti.
        Selain itu, guru 3600 ini juga sentiasa diberi kepercayaan mempengerusikan majlis-majlis rasmi peringkat sekolah semenjak menjejakkan kaki di bumi Kenyalang. Bakat dan kebolehan kepetahan berbicara beliau dari bangku sekolah ditonjolkan dengan baik tanpa menyelindunginya atau menolak tawaran yang diberi. Realiti dunia pendidikan, ada guru yang berkira atau memilih tugas yang disukainya sahaja. Ada juga yang tanpa segan silu menolak tugas yang tidak disukai atau yang sukar dilakukan. Apabila kita dapat mempamerkan kebolehan, kemahiran, kecekapan, sikap positif dan tidak berkira, maka kita adalah orang yang berpotensi menjadi orang harapan dan disenangi oleh semua pihak.
        Bagi memperoleh impak atau tindak balas yang baik daripada orang lain mengenai satu-satu perkara, kita harus memulakannya terlebih dahulu. Sekiranya kita ingin dihargai, kita perlu terlebih dahulu menghargai orang lain. Demikian juga sekiranya kita ingin memupuk hubungan serasi dengan orang lain, kita perlu terlebih dahulu mendekati, mengenali dan memahami mereka. Hal ini tidak dapat dinafikan apabila guru 3600 ini begitu ramah dan mesra dengan rakan sejawatnya, beliau menjadi penghibur rakan-rakan dan menjadi tempat diluahkan segala masalah dan 1001 pengalaman cerita di sekolah.
        Sepanjang berada di sekolah, budaya mengumpat, bergosip, memfitnah, jatuh menjatuh, bertengkar dan mencaci yang berpunca daripada lidah tidak dapat dielakkan. Kesannya boleh menjana permusuhan dan memporak-perandakan sesebuah organisasi dan sesebuah sekolah. Aku selalu diingatkan oleh guru 3600 ini supaya tidak terjebak bersama dan cuba menjauhkan diri daripada perkara tersebut. Perbuatan ini sia-sia sahaja dan tidak mendatangkan sebarang faedah. 
        Lantas aku teringat firman Allah dalam Al-Quran yang aku baca pada pagi tadi sebelum menuju ke sekolah. Allah berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan jangan sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (sekiranya demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”
        Kehadiran guru 3600 ini di Kuala Tutoh mengubah landskap suasana masyarakat yang dahulunya memandang sinis guru-guru dari semenanjung. Beliau membuktikan bahawa dengan menghormati budaya dan agama masyarakat kampung, nescaya mereka juga akan menghormati pegangan yang dianuti. Buktinya dapat dilihat sendiri oleh aku melalui toleransi kaum di sini, masyarakat kampung begitu menitikberatkan soal sensitiviti keharaman masyarakat Islam. Segala aktiviti kerohanian dijalankan bersama-sama mengikut adat dan pegangan masing-masing walaupun satu kaum yang sama. Rumah ibadat juga dibina bersebelahan dan tiada unsur pergaduhan agama berlaku.
        Sesuatu yang diluar jangkaan aku dimana guru 3600 ini akan memanfaatkan setiap masa petang dengan turut serta bersama aktiviti harian penduduk kampung seperti menjala ikan, bermain takraw dan bermandi-manda di sungai. Beliau begitu selesa mengikuti segala aktiviti dan memanfaatkan peluang ini untuk beramah mesra bersama anak-anak murid dan juga penduduk kampung. Kemesraan beliau menyebabkan disenangi dan disayangi buat yang mengenali susuk tubuh insan guru 3600 ini.
        Pada malam harinya, aku berpeluang bersama guru 3600 ini untuk kelas tambahan malam. Kelas ini diadakan bagi membantu murid-murid melakukan kerja-kerja rumah di sekolah serta mendapat bimbingan dari guru. Aku dapat melihat sendiri kecekalan dan semangat guru 3600 ini mendidik dan mengajar kanak-kanak di sini. Beliau tidak jemu menunjuk ajar sehingga murid menguasai walaupun perkara tersebut telah diterangkan berkali-kali. Jelas terpampang di wajah guru 3600 ini satu keceriaan dan senyuman manis apabila murid-murid yang diajar berjaya memahami pelajaran dan menguasainya serta boleh menjawab soalan dengan baik dan betul.
        Satu rahsia yang aku pelajari dari guru 3600 ini untuk terus disayangi dan dihormati ialah jangan pernah jemu mengenali orang-orang yang berada di sekeliling kita tanpa mencari kelemahan, sebaliknya sentiasa mencari kekuatan mereka. Selain itu, setiap kali berselisih atau bertemu orang lain, lontarkanlah satu senyuman seikhlas mungkin dan jangan pernah lekang dari mulut untuk mengucapkan selamat kepada orang lain. Selalulah ungkapkan ucapan ‘Terima Kasih’ sebagai tanda menghargai dan betapa pentingnya jasa yang telah orang lain korbankan untuk kita. Ucapan terima kasih nampak mudah untuk diamalkan, namun sukar diungkapkan.
        Aku juga belajar bahawa melalui budaya kerja berpasukan, kecemerlangan sesebuah sekolah akan terserlah. Sekiranya terdapat perbezaan pendapat atau pandangan, kita perlu ketepikan seketika, sebaliknya cuba cari di mana terdapat persamaan. Dengan sedikit persamaan itu, kita akan bergerak ke hadapan. Jika terdapat perbezaan, maka semua ahli perlu mengelakkan daripada diperbesar-besarkan. Perkara kecil yang diperbesarkan bakal meruntuhkan organisasi lebih-lebih lagi sekiranya tiada yang mengalah. Guru 3600 ini membuktikannya dengan mengetepikan pendapatnya setelah pihak pentadbiran tidak bersetuju dengan cadangan yang telah dicadangnya semasa mesyuarat sekolah untuk Hari Sukan Sekolah. Beliau menerima pendapat orang lain dengan hati terbuka walaupun cadangan yang diberi ditolak begitu sahaja.
        “Cikgu, Guru, Ustaz, Ustazah, Teacher Atau Sir”, satu panggilan keramat kepada insan-insan yang mendidik. Dulu kerjaya ini dipandang sinis oleh aku, satu kerjaya yang mudah sahaja bagi aku. Namun kini aku bakal menceburkan diri dalam kerjaya yang tidak pernah aku impikan dan aku dambakan. Kini aku sedar bahawa semua kerjaya yang ada bermula daripada seorang guru biasa yang tidak pernah kenal lelah untuk mendidik dan mengajar ‘A,B,C’ atau ‘1,2,3’. Akan aku buktikan dengan menceburi bidang mulia ini, aku akan corakkan anak bangsa sehebat zaman kegemilangan tamadun islam, akan aku lahirkan kembali cendiakawan islam sehebat pemikiran Ibnu Sina, lahirnya formula tolak tambah kejayaan dunia seperti Al-Khawarizmi.
        Tanpa aku sedar, dulu aku juga seorang murid biasa yang tinggal di kampung serba kekurangan menerima pelajaran dari seorang guru biasa. Perjalanan aku bergelar seorang guru masih terlalu muda dan aku perlu meneruskannya sehingga ke akhir perkhidmatanku. Aku tahu takdirku telah tertulis oleh si Dia untuk menjadi seorang guru. Terima kasih Tuhan atas pertemuan dengan guru 3600 ini yang berjaya mengubah hatiku untuk terus istiqamah dalam professional keguruan. Aku bertekad akan meneruskan kerjaya ini dan aku akan membanggakan semua insan yang menjadi tulang belakang kejayaan aku. InsyaAllah.... 

(1445 patah perkataan)


Penulis (kanan) bergambar bersama guru inspirasi (tengah) di Masjid IPG Miri

Penulis (tengah) bergambar bersama guru inspirasi (kanan) ketika menaiki Bot Ekspress menuju Kuala Tutoh dari Pekan Marudi

Guru inspirasi sedang mengajar pelajaran Sains tahun 5

Guru inspirasi sedang menjalankan P&P dengan kreatif menggunakan BBM 

Guru inspirasi dan penulis bergambar bersama di papan tanda sekolah


Penulis mengambil gambar kenangan bersama-sama murid SK Kuala Tutoh

CaTaTanKu

ChaT BoX

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -