Posted by : أمير الشفيق Tuesday, April 9, 2013



Abdul Muttalib memilih Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya Abdullah. Pada masa itu Aminah dianggap wanita Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi  hubungan nasab dan kemuliaan. Setelah itu tinggallah Abdullah dengan Aminah di Mekah.


Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, “Aku berlindung kepada tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.” Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut pandangan ahli sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera bergajah.

Menurut Zulkifli Mohd Yusuff dan Noor Naemah Abd Rahman (2006), Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut catatan sejarah lagi, Muhammad dilahirkan keadaan sujud dan sudah berkhatan.

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpendam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi itu tertimbus. 

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada pengetahuan Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.

Dinyatakan di dalam buku “Biografi Muhammad Bin Abdullah, nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

Diringkaskan cerita, Halimah al-Sa’diyyah iaitu ibu susu Muhammad mengembalikannya ke pangkuan bondanya setelah bimbang dengan peristiwa pembelahan dada oleh malaikat Jibril.  Lewat satu tahun setelah Muhammad Rasulullah SAW di pangkuan bondanya, maka Aminah membawa Baginda ke Madinah untuk menziarahi kaum keluarga sebelah ayahandanya yang berketurunan Bani Najjar.  Maka tinggallah Muhammad bersama ibunya sehingga umurnya mencecah enam tahun. Lalu dia pun keluar dari Mekah mengenderai kenderaan sejauh lima ratus kilometer. Bersamanya turut dibawa anak yatimnya, Muhammad s.a.w dan pelayan wanitanya Ummu Ayman iaitu hamba yang diwarisi dari Abdullah. Rombongan mereka diketuai oleh Abd Muttalib. 

Di Yathrib, Aminah menunjukkan rumah di mana ayahandanya jatuh sakit dan dirawat sehingga beliau  menghembuskan nafasnya yang terakhir serta membawanya menziarahi kubur. Aminah juga menceritakan kepada Rasulullah tentang ketinggian budi dan perwatakannya, sehingga menjadi seorang yang dihormati dan disegani oleh masyarakat kaum Quraisy.  Setelah sebulan di Madinah, mereka pun beredar pulang. 

Dalam perjalanan pulang itu,  takdir menetukan bahawa Aminah tidak dapat mengasuh anakandanya, Muhammad Rasulullah lebih lama lagi kerana Aminah jatuh sakit, dan keadaannya semakin tenat semasa awal-awal perjalanan tersebut. Akhirnya dia meninggal dunia di Abwa’ iaitu sebuah daerah kecil yang terletak antara Mekah dan Madinah dan disini jualah Aminah dimakamkan pada tahun 577.

Ketika itu, Muhammad Rasulullah SAW berusia enam tahun, terlalu kecil untuk memahami satu kematian namun kegelisahan menyelebungi jiwanya, kerana hari-hari muka akan dihadapi tanpa ayah dan ibu yang menjadi tunjang dan sandaran dalam mengharungi perjuangan hidup. Kisah ayahandanya, sebagaimana disampaikan oleh bundanya itu, menjadi ingatan sepanjang hayat Baginda Rasulullah SAW.




Rujukan:

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar

Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -