Posted by : أمير الشفيق Wednesday, April 20, 2011


TERSURAT DAN TERSIRAT DALAM FILEM LASKAR PELANGI..

Secara umumnya, filem Laskar Pelangi ini berjaya menyentuh isi hatiku sebagai seorang bakal pendidik betapa pentingnya pendidikan kepada anak bangsa. Kemiskinan bukanlah halangan utama dalam menuntut ilmu. Beberapa kali diriku ini menitiskan air mata tatkala menghayati perjuangan seorang guru dalam mempertahankan sebuah sekolah usang demi memastikan anak-anak muridnya mendapatkan pendidikan seperti orang lain. 

Aku juga begitu terharu tatkala melihat keazaman dan semangat yang ditonjolkan oleh anak-anak miskin ini walaupun terpaksa mengharungi berbagai-bagai rintangan dan halangan demi menuntut ilmu. Mereka memanfaatkan apa yang ada pada diri mereka... Nilai materalistik bukanlah menjadi kayu ukur mereka...


Gambar menunjukkan bangunan usang yang digunakan sebagai bilik darjah dengan keadaannya yang kurang sempurna. Bangunan ini menjadi bukti tentang kegigihan seorang lelaki tua dalam mempertahankan sebuah sekolah agama demi memastikan anak-anak di daerah tersebut mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi.


Cerita ini berjaya membawa satu motivasi kepada diriku betapa kecilnya nilai kecemerlangan seseorang itu jika diukur kecemerlangannya dengan kejayaan merangkul banyak bilangan A dalam peperiksaan. Apa gunanya seorang pelajar itu cemerlang tapi hatinya lupa pada Allah, derhaka pada ibubapa dan berakhlak buruk. 


Terfikir di fikiranku betapa ramainya anak-anak bangsa di luar sana yang masih tidak mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah...  Terpahat di hatiku satu keazaman untuk memastikan semua anak-anak bangsaku mendapat pendidikan sewajarnya. Inginku pastikan mereka juga berjaya seperti orang lain... 


Akan kujadikan filem ini sebagai platform kepada diriku dalam usaha memotivasikan diri menjadi seorang guru yang mengajar bukan kerana nilai harta, pangkat dan nama...

Akan kubalas segala jasa-jasa guruku yang telah mendidik diriku... 

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -