Posted by : أمير الشفيق Tuesday, January 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Kerajaan tiada rancangan untuk menarik balik keputusan memansuhkan dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meskipun kumpulan pro-Bahasa Inggeris terus mendesak agar kembali ke sistem lama.
Ketika mengesahkan pendirian itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong juga menafikan keputusan untuk menghentikan PPSMI bermotifkan politik sebagaimana didakwa oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).
“Keputusan mengkaji semula PPSMI dibuat menerusi perbincangan meja bulat, selepas perbincangan panjang lebar, keputusan dibuat berasaskan hasil penemuan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Kelmarin, Page bercadang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Rabu ini agar semua sekolah kebangsaan diberi opsyen untuk meneruskan PPSMI.
Pengerusi Page Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata memorandum itu akan memberi keutamaan aspek penting yang dibincangkan pada tiga forum bertajuk “A Discourse on Malaysia Education Policies - Science and Math in English as an Option” yang diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur bermula minggu lepas.
Katanya badan itu bukan menentang sekolah kebangsaan tetapi hanya mahu memastikan pelajar diberi peluang pendidikan terbaik dan diajar dalam bahasa yang paling sesuai.
PPSMI akan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris pada tahun ini.
“Tidak, tidak. Malah sekolah-sekolah aliran Cina juga mahukan pengajaran subjek-subjek ini dalam Bahasa Malaysia. Ambil contoh yang mudah dan dapatkan komen daripada kumpulan-kumpulan profesional, dan anda akan tahu,” katanya.
Wee berkata pihaknya menyedari kempen Page yang mahu mengenakan tekanan ke atas kerajaan agar PPSMI diperkenalkan semula tetapi menambah, Kabinet tiada rancangan untuk berbuat demikian.
“Ini keputusan Kabinet. Kita perlu mematuhi apa yang telah diputuskan oleh Kabinet,” katanya lagi.

CaTaTanKu

- Copyright © موربي كوتا ميتروڤوليتن -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -