- Back to Home »
- PERCERAIAN : BAHANA SEBUAH KELUARGA ISLAM
Posted by : أمير الشفيق
Thursday, January 5, 2012
Sejak kebelakangan ini, masalah perceraian
hangat diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari dada-dada akhbar sentiasa
dipenuhi dengan tajuk-tajuk utama berkaitan masalah keruntuhan institusi kekeluargaan
yang amat membimbangkan. Masalah ini umpama tiada jalan penyelesaiannya, berbagai-bagai
langkah diambil oleh pihak bertanggungjawab, namun hasilnya masih dalam keadaan
kritikal.
Masalah perceraian yang berlaku di
Malaysia pada masa ini bukanlah satu masalah yang kecil lagi dan boleh
dipandang ringan namun ianya sudah bertukar menjadi satu masalah yang besar.
Masalah perceraian ini boleh dikatakan semakin meningkat kerana semakin hari
semakin banyak kes-kes perceraian yang difailkan di mahkamah.
Dalam satu statistik yang dikeluarkan
oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di akhbar Harian Metro, kadar
perceraian di Malaysia semakin meningkat dari tahun demi tahun. Statistik ini
amat membimbangkan kerana jumlah perceraian secara puratanya bagi tempoh sehari
ialah 56 penceraian berbanding 359 perkahwinan yang berlangsung. Menurut
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar
perceraian di kalangan pasangan suami isteri di negara ini berlaku dalam tempoh
setiap 15 minit.
Statistik Perceraian rakyat Malaysia dari tahun
2000 hingga tahun 2007
Fakta ini menjelaskan bahawa institusi
kekeluargaan Islam di Malaysia menuju kepada satu keadaan yang kurang baik dan
selesa. Terdapat pelbagai sebab yang membawa kepada perceraian sesebuah
perkahwinan. Ia berkait rapat dengan faktor ekonomi, sosial dan politik bagi
sesebuah keluarga tersebut.
Jika kita kembali kepada fitrah agama,
punca masalah ini adalah berikutan kurangnya penghayatan dan pengamalan terhadap
ajaran agama. Sekiranya hendak dikatakan kurangnya didikan ilmu agama adalah
sesuatu yang mustahil. Ini kerana sistem pendidikan di Malaysia telah
menerapkan bab perkahwinan didalam mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai
sukatan pelajaran di peringkat sekolah menengah. Kemudian disusuli dengan
mewajibkan setiap pasangan yang ingin mendirikan perkahwinan menghadiri Kursus
Perkahwinan yang dianjurkan dibawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Di dalam Islam, perceraian merupakan
sesuatu yang dilaknat oleh Islam tetapi diharuskan dengan alasan dan
sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan
khuluk atau tebus talak. Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia
akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh
perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku
perceraian di antara suami dan isteri.
Setiap pasangan haruslah berfikir
menggunakan akal dan bukanlah bertindak mengikut perasaan yang boleh dikawal
dan dipengaruhi oleh syaitan. Sesungguhnya syaitan itu akan ketawa apabila umat
islam bercerai-berai dan berpecah-belah. Seharusnya setiap pasangan itu harus
bertindak menggunakan fikiran agar tidak akan berakhir dengan perceraian. Perceraian
juga bukanlah satu penyelesaian yang betul dan tepat dalam menyelesaikan
kemelut rumah tangga bahkan perceraian akan mengundang lebih banyak keburukan
daripada kebaikan.
Masalah perceraian ini sebenarnya tidak
harus meningkat dari hari demi hari, tahun demi tahun kerana islam itu sendiri
telah menggariskan panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia lantas
melahirkan umat islam yang berkualiti melalui institusi kekeluargaan dan
bukannya melahirkan umat islam yang runtuh akhlaknya akibat kesan perceraian
yang berlaku.
Sesungguhnya islam itu adalah satu agama yang indah dan tiada yang
indah selainnya. Islam juga menuntut umatnya untuk bersatu dan bukannya untuk
bercerai-berai. Oleh yang demikian, sebagai seorang manusia biasa yang inginkan
sebuah keluarga yang kekal bahagia selamanya, kita haruslah bersandarkan kepada
agama sebagai petunjuk kepada kehidupan kita supaya sebuah keluarga itu akan
kekal dan bukanlah diakhiri dengan perceraian.
Post a Comment