Showing posts with label PIM 3106. Show all posts
Abdul Muttalib : Ketua Kaum Quraisy
Abdul Muttalib
ialah cicit kepada Qusai bin Kilab, tokoh Quraisy pertama mengawal dan
menguasai Makkah, dan nasab keturunan Abdul Muttalib adalah seperti berikut
Abdul Muttalib bin Hashim bin Abi Manaf bin Qusai bin Kilab. Nama sebenar Abdul
Muttalib ialah Shaybah (uban), kerana rambut putih yang terdapat pada
kepalanya. Beliau merupakan pemimpin dan ketua kaum Quraisy yang dihormati dan
disegani oleh masyarakat Arab, kerana iltizamnya dalam menjalankan tugas dengan
adil, di samping keperibadiaanya yang terpuji.
Abdul Muttalib
tidak terlibat dengan amalan menyembah berhala, sekalipun amalan itu sudah
meluas dilakukan oleh masyarakat Arab di Makkah, yang terdiri dari berbagai
suku kaum dan kabilah termasuk kaum Quraisy sendiri. Abdul Muttalib mempunyai
anak seramai 16 orang iaitu anak lelaki seramai 10 orang sementara anak
perempuannya ialah 6 orang. Anak lelaki Abdul Muttalib terdiri dari Hamzah,
Al-Abbas, Abu Talib, Al-Zubair, Al-Maqwa, Dhirar, Hajl, Abu Lahab, al-Harith
dan Abdullah iaitu ayahanda Rasulullah SAW. Anak perempuannya ialah Atikah,
Umaimah, al-Baidha’ Birrah, Sofiah dan Arwa.
Antara peristiwa
yang terpenting yang berlaku kepada Abdul Muttalib ialah dua peristiwa iaitu
menggali telaga Zamzam dan peristiwa serangan tentera bergajah. Ringkasan peristiwa
pertama, sewaktu kaum Jurhum meninggalkan Makkah akibat tertewas dalam satu
rebutan kuasa, mereka menimbus Telaga Zamzam supaya kaum Khuzaah yang mengambil
alih kuasa tidak mengetahui wujudnya sumber air di situ. Sesudah lama
tertimbus, Abdul Mutallib mengetahui letaknya telaga Zamzam dan berjaya
menggalinya semula natijah dari sebuah mimpi yang dialaminya.
Semasa menggali
semula Telaga Zamzam itu, Abdul Muttalib membuat nazar iaitu sekiranya beliau
dikurniakan 10 orang anak lelaki yang taat setia membantunya kelak, salah
seorang daripada anaknya itu akan dikorbankan sebagai tanda penghargaan dan
kesyukuran. Dengan takdir Allah, Abdul Muttalib dikurniakan 10 orang anak
lelaki kemudiannya maka beliau terwajib menyempurnakan nazar itu. Beliau
memanggil kesepuluh anak lelakinya, dan memaklumkan mengenai tindakan yang
harus dilakukan iaitu memilih salah seorang dari mereka untuk dikorbankan,
sebagai memenuhi tanggungjawab menyempurnakan nazarnya.
Memahami beban
yang ditanggung oleh ayah mereka maka anak-anak itu akur dan bersedia supaya
salah seorang dari mereka dikorbankan. Abdul Muttalib menemui seorang pengawal
Kaabah, yang di dalamnya terdapat berhala Hubal, dan dinasihatkan supaya undian
secara kidah dilakukan. Sepuluh anak panah disediakan dengan setiap satunya
tertulis nama anak lelakinya itu untuk diundi.
Lalu ditulislah
nama-nama mereka pada anak panah dan diberikan kepada penjaga berhala Hubal.
Nama yang terkeluar dari undian itu merupakan penentuan anak yang harus
dikorbankan. Apabila undi dijalankan, nama Abdullah yang terkeluar, bererti
Abdullah adalah anak yang harus dikorbankan. Abdul Muttalib terguris sedih
kerana Abdullah merupakan anak yang paling dikasihi dan disayanginya. Abdullah
seorang anak yang terbaik dengan sifat sopannya. Namun Abdul Muttalib tiada
pilihan lain kecuali membawa Abdullah ke satu tempat di mana tradisi
pengorbanan disempurnakan. Tempat itu terletak berhampiran dengan Telaga Zamzam
antara berhala Isaf dan Naila.
Semasa nazar
pengorbanan hendak disempurnakan maka sekumpulan orang dari kaum Quraisy
terutamanya bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani
Makhzum dan saudaranya Abu Talib membantah dengan berkata, “Demi Tuhan:
janganlah anda meneruskan pengorbanan sebelum mendapat pandangan dari pihak lain
mengenainya. Kalau beginilah tindakan tuan maka orang lain pun akan
mengorbankan anak-anak mereka, apa akan jadi kepada masyarakat kita kelak?”
Orang-orang
Quraisy itu berserta anak-anak beliau meminta supaya Abdul Mutallib menemui
seorang ahli tilik perempuan atau Kahinah bagi mendapatkan nasihat dan
syarat-syarat menebus. Abdul Mutallib akur lalu menemui ahli tilik perempuan
yang disebut sebagai Kahinah tadi, yang menentukan setiap satu undi yang jatuh
kepada Abdullah itu akan ditebus dengan sepuluh ekor unta. Pembiayaan unta akan
dikongsi sama oleh masyarakat kaum Quraish mengikut sejauh mana bilangan undi
itu berakhir. Apabila dijalankan pengundian, nama Abdullah yang muncul jadi
sepuluh ekor unta diperuntukkan begitulah seterusnya undian itu dijalankan sebanyak
sepuluh kali berturut-turut, nama Abdullah jua yang muncul.
Dengan sepuluh
ekor unta setiap satu undi maka bilangan unta yang harus dijadikan tebusan
meningkat hingga ke seratus ekor banyaknya. Bagi pengundian seterusnya iaitu
kali yang kesebelas maka anak panah sebelah pihak unta pula muncul, dan dengan
demikian berakhirlah kiranya tanggungan yang harus disempurnakan sebagai
tebusan oleh Abdul Mutallib bagi Abdullah.
Akan tetapi,
Abdul Mutallib tidak berpuas hati dan meminta supaya undian sekali lagi dibuat.
Manakala undian kali kedua belas dilakukan, masih anak panah unta juga yang
muncul, dan bagi ketiga belas pun demikian juga halnya. Setelah tiga kali
undian itu dijalankan, ternyata hanya anak panah unta yang muncul, barulah
Abdul Muttalib merasa lega dan puas hati. Unta-unta itu disembelih sebagai
ganti Abdullah. Abdul Muttalib telah meninggalkan unta yang disembelih tanpa
menghalang siapa yang mahu mengambilnya sama ada manusia atau binatang buas.
Bayaran diat di kalangan orang Arab ialah sepuluh ekor unta. Selepas peristiwa
itu bayaran diat menjadi seratus ekor unta, dan ianya diperakui oleh Islam.
Sikap yang tegas
dalam memenuhi janji seumpama itu, memperkukuh ketokohannya sebagai seorang
pemimpin masyarakat yang berwibawa dan disegani. Peristiwa ini sesungguhnya
memperlihatkan kudrat dan iradah Allah swt menentukan kelangsungan kehadiran
Rasulullah SAW, dengan menyelamatkan Abdullah dari bangsa korban yang sia-sia.
Menurut Ibnu Hisham dalam bukunya Rahmal li al-alamin menyatakan bahawa baginda
Nabi s.a.w bersabda, “Aku adalah putera dua orang yang disembelih” yakni Ismail
dan bapanya Abdullah.
Abdul Muttalib
memilih Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah Kilab untuk menjadi isteri
anaknya Abdullah. Hasil perkongsian hidup Abdul Muttalib dan Aminah lahirlah
Junjungan besar Rasulullah s.a.w. Apabila berita kelahiran Muhammad sampai
kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Oleh kerana terlalu gembira,
Abdul Muttalib membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.
Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib
pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu
dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib itu menceritakan kepada mereka akan lahir
seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang,
keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul
Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama
Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.
Semasa Muhammad
bin Abdullah berumur enam tahun, ibunya Siti Aminah meninggal dunia. Muhammad
Rasulullah SAW dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman untuk diserahkan di
bawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib hidupnya miskin walaupun
seorang ketua penduduk Mekah, ini kerana hartanya dihabiskan memberi khidmat
dan melayan tetamu-tetamu Kaabah. Abdul Muttalib begitu terharu mengenangkan
nasib Muhammad Rasulullah SAW yang menjadi yatim piatu ekoran kehilangan kedua
ibu bapanya. Keharuan itu bagaimanapun, terubat bila mengenangkan Muhammad SAW
kini menggantikan Abdullah, anaknya yang amat disayangi itu, lalu tertumpahlah
kasih sayang itu kepada Muhammad Rasulullah SAW dengan begitu besar.
Kasih sayang
Abdul Muttalib jelas kelihatan dalam penghidupan seharian yang terbukti
antaranya membiarkan Muhammad Rasulullah SAW duduk atas hamparan yang khusus
baginya selaku pemimpin utama kaum Quraisy. Hamparan itu dijauhi oleh
anak-anaknya sendiri, kerana bagi mereka hamparan itu, tempat yang sangat mulia
dan harus dihormati.
Sewaktu
anak-anak Muttalib melarang Muhammad Rasulullah SAW menduduki hamparan itu yang
secara kebetulan beliau tiba lalu menegur mereka dan membawa Muhammad duduk
bersama dengannya sambil berkata, “Biarkanlah dia duduk di sini, kerana dia
akan menjadi pemimpin besar yang belum pernah dimiliki oleh bangsa Arab,” kata
Abdul Mutallib. Sambil duduk, Abdul Muttalib menghelus-helus belakang Baginda
dengan penuh kasih sayang dan melayani setiap karenahnya sebagai anak kecil. Muhammad
sentiasa menemani datuknya Abdul Muttalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua
tahun Muhammad menghadiri semua majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima
kunjungan demi kunjungan daripada semua pembesar Arab.
Baru satu tahun
Muhammad Rasulullah SAW memperoleh perhatian dan kasih sayang dari datuknya,
Abdul Muttalib tiba-tiba Allah saw menjemputnya ke alam Baqa, mengikut jejak
kedua ibu bapanya yang telahpun berpulang lebih awal. Abdul Muttalib meninggal
dunia dalam tahun Masihi 578, ketika berusia 85 tahun, dan baginda Rasulullah
SAW sendiri baru mencapai umur lapan tahun ketika itu. Menurut al-Sheikh
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri (2011) di dalam bukunya ‘Al-Rahiq al-Makhtum’,
Abdul Muttalib meninggal ketika Nabi Muhammad berusia lapan tahun dua bulan
sepuluh hari.
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman
al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w.
Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id
Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji
Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff
& Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah
Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah
Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab
Abdul Muttalib
memilih Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri
anaknya Abdullah. Pada masa itu Aminah dianggap wanita Quraish yang paling
mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari
segi hubungan nasab dan kemuliaan.
Setelah itu tinggallah Abdullah dengan Aminah di Mekah.
Menurut Zulkifli
Mohd Yusuff dan Noor Naemah Abd Rahman (2006), Siti Aminah ibu Muhammad bin
Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa
penat ataupun sakit. Menurut catatan sejarah lagi, Muhammad dilahirkan keadaan
sujud dan sudah berkhatan.
Antara perkara
pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra
iaitu Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu
menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi
sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpendam. Gegaran
itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan
istana Raja Farsi itu tertimbus.
Apabila berita kelahiran ini sampai kepada
pengetahuan Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar
cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah
menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu
gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur
kepada Tuhan.
Dinyatakan di
dalam buku “Biografi Muhammad Bin Abdullah, nama Muhammad diberikan oleh Abdul
Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam
dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib
ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama
Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan
anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki
daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang
Arab tidak ada yang bernama Muhammad.
Diringkaskan
cerita, Halimah al-Sa’diyyah iaitu ibu susu Muhammad mengembalikannya ke
pangkuan bondanya setelah bimbang dengan peristiwa pembelahan dada oleh
malaikat Jibril. Lewat satu tahun
setelah Muhammad Rasulullah SAW di pangkuan bondanya, maka Aminah membawa
Baginda ke Madinah untuk menziarahi kaum keluarga sebelah ayahandanya yang
berketurunan Bani Najjar. Maka
tinggallah Muhammad bersama ibunya sehingga umurnya mencecah enam tahun. Lalu dia
pun keluar dari Mekah mengenderai kenderaan sejauh lima ratus kilometer.
Bersamanya turut dibawa anak yatimnya, Muhammad s.a.w dan pelayan wanitanya
Ummu Ayman iaitu hamba yang diwarisi dari Abdullah. Rombongan mereka diketuai
oleh Abd Muttalib.
Di Yathrib, Aminah menunjukkan rumah di mana ayahandanya
jatuh sakit dan dirawat sehingga beliau
menghembuskan nafasnya yang terakhir serta membawanya menziarahi kubur.
Aminah juga menceritakan kepada Rasulullah tentang ketinggian budi dan
perwatakannya, sehingga menjadi seorang yang dihormati dan disegani oleh
masyarakat kaum Quraisy. Setelah sebulan
di Madinah, mereka pun beredar pulang.
Dalam perjalanan pulang itu, takdir menetukan bahawa Aminah tidak dapat
mengasuh anakandanya, Muhammad Rasulullah lebih lama lagi kerana Aminah jatuh
sakit, dan keadaannya semakin tenat semasa awal-awal perjalanan tersebut.
Akhirnya dia meninggal dunia di Abwa’ iaitu sebuah daerah kecil yang terletak
antara Mekah dan Madinah dan disini jualah Aminah dimakamkan pada tahun 577.
Ketika itu,
Muhammad Rasulullah SAW berusia enam tahun, terlalu kecil untuk memahami satu
kematian namun kegelisahan menyelebungi jiwanya, kerana hari-hari muka akan
dihadapi tanpa ayah dan ibu yang menjadi tunjang dan sandaran dalam mengharungi
perjuangan hidup. Kisah ayahandanya, sebagaimana disampaikan oleh bundanya itu,
menjadi ingatan sepanjang hayat Baginda Rasulullah SAW.
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers
Abdullah bin Abdul Muttalib
Abdullah, yang juga dikenali
sebagai Abu Dar, dilahirkan dalam tahun Masehi 545, merupakan anak bongsu
daripada sepuluh anak lelaki Abdul Muttalib. Abdullah seorang anak muda yang
tampan dan memiliki keperibadian mulia sesuai dengan keturunannya dari suku
kaum Quraisy, golongan yang dihormati oleh kabilah-kabilah Arab lainnya.
Abdullah seorang anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttalib kerana beliau
seorang yang bersopan-santun. Abdullah juga dikenali sebagai al-Dhabih (mangsa
penyembelihan). Ini kerana beliau adalah mangsa nazar ayahnya, Abdul Muttalib
yang bernazar akan mengorbankan anaknya jika mendapat sepuluh anak lelaki yang
taat setia membantunya kelak sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran.
Tatkala usianya cukup dewasa,
ayahnya, Abdul Muttalib memperjodohkan Abdullah dengan Aminah, anak perempuan
Wahab bin Abdu Manaf, tokoh Quraisy berjawatan tinggi dalam pentadbiran Makkah.
Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Aminah merupakan wanita
Quraish yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ketua Bani
Zuhrah.
Ketika Abdullah dibawa Abdul
Muttalib ke rumah Wahab bin Abdu Manaf untuk dinikahkan dengan Aminah, seorang
perempuan bernama Qatila, mengikuri Abdullah dengan pandangan yang tajam dari
hadapan pintu rumahnya di Makkah. Tatkala Abdullah melintasinya, Qatila
menegur, “Anda hendak ke mana?” “Ikut ayahku,” jawab Abdullah. “Begini,” kata
Qatila, “aku sedia menggantikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh ayah anda,
jika anda sanggup bersamaku,” katanya merujuk perbelanjaan Abdul Muttalib
mengeluarkan 100 unta sebagai tebusan nyawanya. “Tidak, aku akan tetap ikut
ayahku, dan kami tidak boleh berpisah,” tegas Abdullah.
Abdullah merasa tersinggung dan
malu kerana Qatila mengeluarkan kata-kata sedemikian di hadapan ayahnya
sendiri, seorang yang amat dihormati dan disegani. Walaubagaimanapun, Abdullah
meneruskan perjalanan, dengan sikap dan tindakan Qatila itu tetap mengganggu
fikiran dan menjadi tandatanya.
Abdullah dinikahkan pada hari yang
berkenaan, dan tradisi Arab memerlukan Abdullah menginap di rumah pengantin
perempuan selama tiga malam berturut-turut sebagai cara memesrakan hubungan
pasangan pengantin baru. Satu hari sesudah itu, Abdullah
meninggalkan rumah dan sewaktu diperjalanan bertemu semula dengan Qatila, tapi
beliau merasa hairan melihatkan Qatila yang tidak sedikitpun menunjukkan minat
kepadanya seperti tempoh hari.
“Mengapa anda tidak menegurku?” kata Abdullah.
“Anda siapa?” Tanya Qatila
seolah-olah tidak
mengenalinya.
“Abdullah bin Abdul Muttalib,”
tegas Abdullah.
“Pada mulanya, anda mempunyai
cahaya di antara
kedua mata anda,” kata Qatila, “tapi kini cahaya itu
sudah
hilang.”
“Apa yang terjadi?” tanya Qatila.
Hakikatnya, hasrat utama Qatila terhadap Abdullah terdorong dari keinginannya
menjadi seorang ibu yang bakal melahirkan seorang bayi yang akan menjadi nabi
bagi umat manusia. Maklumat berkaitan itu diketahui melalui khabar yang
disampaikan sendiri oleh abangnya, Waraqah bin Naufal, Rahib yang terkenal dan
dihormati oleh penduduk Arab.
“Demi Allah, aku tidak silap,
cahaya yang bersinar itu, yang ingin aku miliki, kini sudah menyusup masuk ke
dalam tubuh perempuan lain,” kata Qatila, “perempuan itu pastinya melahirkan
seorang manusia teragung. Dengan kehilangan cahaya di dahi anda, membuat hatiku
tidak lagi tertarik.”
Ramalan Qatila itu menjadi
kenyataan apabila Abdullah mendapati isterinya hamil, dan beliau menyedari
hakikat kebenaran Qatila, bahawa anak yang akan dilahirkan itu akan menepati
ramalan Qatila tadi.
Lalu tinggallah Abdullah dengan
Aminah di Mekah. Tidak lama selepas itu, Abdul Muttalib mengutuskan Abdullah
untuk pergi ke Madinah bagi mendapatkan bekalan-bekalan untuk mereka. Di sana
dia meninggal dunia. Menurut Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri dalam bukunya
al-Rahiq al-Makhtum, Abdullah keluar untuk berdagang ke Syam, bersama rombongan
perdagangan Quraish dan beliau singgah di Madinah lalu jatuh sakit dan
meninggal di sana. Jenazahnya dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Jadi.
Sayangnya, Abdullah tidak
berpeluang menyambut kelahiran anaknya, kerana beliau wafat semasa Muhammad
Rasulullah SAW masih dalam kandungan bondanya selama dua bulan. Beliau
meninggal dunia ketika berumur 25 tahun, dengan meninggalkan seorang hamba
wanita Habsyah yang bernama Barakah dan digelar Ummu Aiman, lima ekor unta dan
sebilangan kambing ternakan untuk diwarisi oleh Aminah. Apabila berita
kematiannya sampai ke Mekah, Aminah meratapinya dengan ungkapan-ungkapan syair
yang menarik, katanya:
Hilang sudah putera Hashim di Batha
Bertandang lahad yang jauh dalam
ratap tangis
Panggilan maut memanggil lantas
disahutnya
Yang tidak meninggalkan seumpama
putera Hashim di
kalangan manusia
Petang hari mereka mengusung
kerandanya
Oleh teman-teman yang berasak-asak
Jika benar kematian dan dukacita
itu perampas dirinya
Namun dia tetap terpahat sebagai
dermawan dan
pengasih
Rujukan:
Rujukan:
Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2011). Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah s.a.w. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (2008) Fiqh al-Sirah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar
Hj Dusuki bin haji Ahmad. (1976) Kamus Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2011) Biografi Muhammad bin Abdullah Perjalanan hidup seorang Nabi. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin (2002) Sirah Muhammad Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers




